Forum GPMS-UiTM
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Sejarah Penubuhan GPMS

Go down

Sejarah Penubuhan GPMS Empty Sejarah Penubuhan GPMS

Post by gpmsuitm Thu 27 Sep 2007, 1:58 am

Hari Ini Dalam Sejarah
Tarikh Siaran : 15 Ogos 1980

Pada hari ini dalam tahun 1948, Konvensyen Pelajar-Pelajar Melayu dari seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah membuat ketetapan bersetuju menubuhkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung yang lebih dikenali dengan singkatan GPMS.

Penubuhan GPMS ini telah digerakkan oleh lima orang mahasiswa dari Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura iaitu Abdul Wahab Ariff, Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid, Hasmah Mohd. Ali (seorang siswi perubatan) dan Aminuddin Baki selaku ketua. Merekalah yang bertanggungjawab menganjurkan konvensyen itu dan seterusnya bertanggungjawab terhadap penubuhan Jawatankuasa Sementara GPMS.

GPMS telah ditubuhkan atas dasar kebangsaan Melayu dan Agama Islam yang lahir dari rasa:

1. SEDAR atas perlunya disatukan tenaga pelajar-pelajar Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu;

2. SEDAR akan kemunduran bangsa Melayu dalam ilmu pengetahuan;

3. SEDAR terhadap kewajipan untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa dan

4. SEDAR bahawa maju-mundur, kaya-miskin dan hina-mulianya bangsa adalah ditangan pelajar.

Gabungan pelajar ini merupakan sebuah persatuan pelajar kebangsaan yang pertama ditubuhkan di negara ini dan segala perjuangannya sebelum merdeka merupakan sebahagian dari gerakan nasionalisme negara ini.

Pada tahun-tahun selepas merdeka GPMS telah melaksanakan kegiatan-kegiatannya melalui program pendidikan, kebajikan, keagamaan dan kebudayaan yang dipadankan dengan tujuan pergerakan badan itu, iaitu "menjaga hak-hak, mengemukakan segala permintaan dan memperbaiki keadaan pelajar-pelajar dari segenap lapisan masyarakat". Di antara kegiatan-kegiatan itu ialah konsep Kelas Bimbingan yang diperkenalkan pada tahun-tahun 1950an yang kemudiannya menjadi aktiviti badan-badan belia tahun 1960an.

Selain dari itu GPMS telah juga menjalankan program Gerakan Obor yang meniupkan kesedaran bahawa pelajaran adalah kunci kemajuan bangsa; melancarkan Operasi Pembangunan Masyarakat pada tahun 1971, dan seterusnya siri ceramah Teknik Menjawab Peperiksaan SPM dan STP dan juga siri ceramah Bimbingan Kerjaya yang masih digiatkan hingga kini.

Pada hari ini, 15hb. Ogos 1980, GPMS mencapai usia 32 tahun dan merupakan persatuan pelajar yang tertua serta berjaya melahirkan ramai tokoh-tokoh kebangsaan di negara ini. Dengan berpandukan kepada lambang obor merah putih di tangan, yang berwarna merah, menerangi peta putih Semenanjung berlatar hijau, GPMS akan terus mara mencapai cita-cita perjuangan dengan ikrar;
Ikrar GPMS wrote:"Dengan hati yang suci murni, kami pelajar-pelajar Melayu Semenanjung Tanah Melayu bersatu berdasarkan Keislaman dan Kebangsaan; berjuang dengan berani kerana benar untuk meninggikan darjat pengetahuan bangsa sebagai syarat mencapai kemajuan dan kemuliaan bangsa Melayu"
gpmsuitm
gpmsuitm
Webmaster
Webmaster

Number of posts : 10
Age : 75
Location : UiTM Shah Alam
Registration date : 2007-09-26

https://gpmsuitm.board-directory.net

Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum